KOTA SAMARAHAN, 16 Dis: Kehidupan yang mencabar khususnya bagi penduduk yang mencari nafkah menerusi aktiviti pertanian dan perikanan memerlukan mereka mengetahui serba sedikit berkenaan kaedah atau cara-cara pertolongan kecemasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang, Datuk Idris Buang berkata, cabaran-cabaran itu secara tidak langsung juga berupaya membahayakan nyawa penduduk terutamanya jika berlaku pertembungan dengan haiwan liar seperti buaya atau ular.
Katanya, tindakan awal daripada pasukan respons pertama atau pasukan respons komuniti sedikit sebanyak akan membantu dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa daripada berlaku.
“Pasukan respons ini perlu sentiasa bersedia namun apa yang penting mereka tahu apa yang perlu dilakukan berdasarkan situasi tertentu agar tidak memudaratkan mangsa yang ingin dibantu tersebut,” katanya ketika berucap di majlis penangguhan Program Simulasi Persediaan Banjir, Kecemasan Dan Latihan (CERT) 2020 bagi kawasan Daerah Kota Samarahan di sini hari ini.
Beliau berkata, latihan yang mencukupi perlu diberikan kepada pasukan ini agar mereka dapat mengkoordinasikan tindakan awal jika berlaku kecemasan di kawasan tanggungjawab mereka.
Katanya, kawasan seperti bahagian Samarahan yang sering dilanda banjir ketika musim landas memerlukan satu pasukan respons pertama yang bertindak sebagai pemudah cara kepada agensi kerajaan berkaitan dalam menguruskan tindakan berkaitan seperti pemindahan mangsa banjir dan sebagainya.
“Perkiraan masa itu penting; jangan kita bertindak sambal lewa apabila berlaku kecemasan, respons yang cepat itu penting.
“Jadi di situlah saya ingin melatih orang-orang di kawasan Pusat Khidmat ADUN ini, jangan kita tunggu agensi kerajaan, kita pergi ke lokasi dahulu sebab kita hendak mendampingi rakyat dan selepas itu kita koordinasi, panggilkan agensi kerajaan berkaitan untuk sama-sama membantu mangsa terlibat,” katanya.
Tambah Idris, pasukan respons pertama bagi ADUN Muara Tuang tersebut bukan bertujuan mengambil alih tugas agensi kerajaan terlibat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM),Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam.
Sebaliknya, pasukan tersebut, menurut beliau, akan bertindak sebagai pemudah cara dalam melakukan operasi awal membantu mangsa bencana sebelum ketibaan pasukan atau agensi kerajaan terbabit. — DayakDaily