Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 29 Jun: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai.

“Ini bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ismail, pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19 dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

Katanya, sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik.

“Ia termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” ujar Ismail.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. — DayakDaily