Pasangan warga emas serta cucu di Sibu dipindah ke rumah jagaan kerajaan – Fatimah

Fatimah menyampaikan bantuan kewangan kepada isteri Ting sambil diperhatikan cucu pasangan tersebut.
Advertisement

KUCHING, 20 Sept: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sibu akan memindahkan sepasang warga emas dan cucu mereka ke tempat jagaan kerajaan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Ting Kie Ping, 80, serta isteri akan ditempatkan di Rumah Sri Kenangan.

Manakala cucu yang di dalam jagaan pasangan tersebut di tempatkan di Rumah Kanak-Kanak.

Advertisement

“Apabila saya datang ke sini, ia bukan hanya sekadar bantuan kewangan, keadaan rumah ini sudah tidak sesuai didiami.

“Bagi saya rumah ini sangat daif sekali, struktur tidak stabil serta merbahaya,” katanya ketika melawat ke rumah pasangan tersebut di Jalan Tong Sang di Sibu hari ini.

Penderitaan hidup sepasang warga emas yang hidup di rumah usang bersama seorang cucu itu telah dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.

Cucu mereka yang berusia lima tahun itu telah ditinggalkan oleh ibunya bersama pasangan tersebut sejak dua bulan yang lalu.

Tambah Fatimah, pihak JKM akan berbincang dari segi kebajikan anak kecil tersebut dan usaha pertama adalah untuk menjejak ibunya.

“Cadangan kita (JKM) ialah menempatkan mereka di rumah yang selamat, kondusif di mana anak kecil ini boleh bersekolah.

“Bagi warga emas pula, mereka akan ditempatkan di Rumah Sri Kenangan manakala bagi anak kecil ini ialah Rumah Kanak Kanak dan inilah pilihan yang ada.

“Mereka perlu dibantu untuk keluar daripada rumah ini,” jelas Fatimah. — DayakDaily

Advertisement