Oleh Dean Adam
SARIKEI, Dis 14: Sepasang suami isteri melecur di anggota badan selepas kediaman mereka di Jalan Simpang Pakan dekat sini musnah terbakar malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.45 tengah malam itu mengakibatkan si suami yang berusia 76 tahun melecur pada kepala, kaki dan belakang badannya. Manakala si isteri yang berusia 61 tahun pula melecur pada kaki dan tangan kanannya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.50 malam.
Sejurus itu, sepasukan 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dan BBP Bintangor bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Sejurus tiba di kampung berkenaan, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang didiami pasangan suami isteri tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua warga emas terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri, namun mereka kecederaan melecur pada anggota badan mereka,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, kedua-dua mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) Sarikei.
Katanya, pasangan suami isteri berkenaan seterusnya dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily