Pasangan suami isteri diberkas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah

Dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri.
Dadah yang dirampas daripada pasangan suami isteri.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mei 16: Polis menahan sepasang suami isteri selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pelita, di sini malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.15 malam itu, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak berjaya menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 36 dan 32 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, serbuan dan tangkapan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan awal telah menemui sebuah beg tangan yang mengandungi 8 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat kira-kira 8.04 gram.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan di dalam bilik tidur rumah berkenaan telah menjumpai satu beg plastik lutsinar di dalamnya mengandungi 30 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah
syabu seberat 35.29 gram

“Polis juga menemui 22 biji pil pelbagai warna disyaki pil ekstasi seberat kira-kira 7.33 gram, satu paket plastik berisi serbuk hijau disyaki serbuk ekstasi seberat 0.8 gram dan dua batang rokok campuran disyaki dedaun ganja dan tembakau seberat 1.38 gram,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah tersebut adalah bernilai RM7,690.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bermula Mac 2018 di kawasan sekitar dan pusat-pusat hiburan di sini.

“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati pasangan suami isteri tersebut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily