Pasangan suami isteri cemas, kenderaan terbabas di bahu jalan

Pasukan bomba membantu menarik kenderaan mangsa.

Oleh Dean Adam

SONG, Nov 25: Sepasang suami isteri berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan di Jalan Temalat di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 10.23 pagi itu, kedua-dua pasangan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, Nasihin Jaum berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.25 pagi.

Jelasnya, sepasukan lima anggota bomba dari BBP Song kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.


“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Mazda Fighter terbabas di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Nasihin menambah, pihak bomba kemudian membantu menarik kenderaan mangsa dengan mengunakan peralatan ‘winch’ dari jentera bomba ke tempat yang selamat.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 10.47 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily