Oleh Brad Rantayy
MIRI, 1 Okt: Kegiatan sepasang kekasih menjual dadah berasaskan serbuk dan pil ecstasy ke pusat-pusat hiburan sekitar Miri selama enam bulan tumpas apabila mereka ditahan pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kin Link Garden, Piasau petang Khamis (30 Sept).
Dadah jenis esctasy bernilai RM148,000 dengan anggaran berat 7.805 kilogram telah dirampas dalam serbuan jam 5.30 petang itu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol berkata, lelaki warga tempatan berusia 30 dan teman wanitanya itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Miri (BSJN) IPD Miri dalam serbuan semalam.
Kesemua dadah ditemui dalam rumah tersebut semasa anggota polis melakukan pemeriksaan.
“Lelaki tersebut bersama teman wanitanya dari negara China itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,” jelas Supt Sabri dalam satu sidang media pagi ini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ketua BSJN IPD Miri ASP Minggat Bakil.
Polis turut menyita lima jenis barangan suspek yang ditemui di dalam rumah tersebut yang berupa sebuah beg Louis Vuitton (RM6,500); satu beg dompet jenama Dior (RM2,500); seutas jam tangan Tudor (RM12,000); seutas jam tangan Tag Heuer (RM7,000) dan satu loket emas (RM1,000) dengan nilai keseluruhan yang disita sebanyak RM29,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. — Dayakdaily