PAS: Tiada sinar harapan untuk Sarawak dalam kerajaan Pakatan

Zharudin Narudin
Advertisement

KUCHING, 2 Oktober: Pakatan Harapan (PH) Sarawak sangat lemah dari sudut bersuara dalam kerajaan pusat untuk mengembalikan hak rakyat, dakwa ketua penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin.

Menurut beliau, kegagalan PH menjawab kenapa kerajaan pusat gagal memberi pulangan 20 peratus royalti minyak dan gas seperti dijanjikan pada PRU 14 adalah bukti jelas.

“Peringatan ini perlu buat rakyat Sarawak bahawa PH bukanlah sebenarnya memberi sinar harapan, malah merekalah yang menghancurkan harapan,” kata Zharudin menerusi satu kenyataan media hari ini.

Advertisement

Beliau juga berpendapat lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung oleh kerajaan Pakatan telah meletakkan Sarawak dalam situasi pemecahan komuniti.

“PAS akan berusaha melalui wakil rakyatnya di parlimen bersuara untuk mempertahankan hak Sarawak sebagai rakan pembangkang di parlimen,” dakwa beliau.

Zharudin menyeru rakyat agar terus bersatu hati memberi sokongan terhadap usaha Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai kerajaan negeri dan tidak terpedaya dengan janji serta sandiwara PH.

PAS Sarawak, katanya, melihat perlunya pemerkasaan hak negeri-negeri dalam persekutuan khususnya Sarawak.

“Ia harus sesuai dengan peruntukan perlembagaan agar pemberian royalti dengan syarat oleh PH tidak sewenangnya dikemukakan oleh PH Sarawak.

“Kestabilan keupayaan fiskal negeri penting bagi memastikan jurang sosio ekonomi penduduk dirapatkan,” ujar Zharudin. — DayakDaily

Advertisement