PAS Sarawak sumbang bantuan makanan berjumlah RM46,550 sepanjang PKP

Zharudin Narudin

KUCHING, 13 April: PAS Sarawak telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM46,550 di sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin, berkata sumbangan telah diagih ke kawasan Petrajaya, Kota Samarahan, Batang Lupar, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Keutamaan diberikan kepada golongan yang sangat memerlukan kerana pada tempoh pertama PKP yang lepas, ramai yang terputus bekalan makanan ekoran tiada sumber pendapatan.


“Sementara menunggu insentif kerajaan, rakyat sangat memerlukan bekalan makanan dan ini adalah usaha PAS Sarawak bagi memastikan golongan yang terjejas ini dapat dibantu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zharudin, agihan bantuan telah dilakukan Pemuda PAS melalui patform Jabatan Amal, yang telah mendapat perhatian melalui inisiatif mencipta “face shield”.

Katanya, “face shield” diagihkan kepada anggota barisan hadapan di Hospital Umum Sarawak, Klinik Kesihatan Samarahan, Hospital Serian dan Hospital Miri, selain menyumbang alat keperluan di pusat kuarantin di Bintulu.

“Bantuan dari PAS Sarawak ini akan diteruskan pada peringkat seterusnya dan penyusunan gerak kerja yang lebih sistematik akan dilaksanakan.

“Selain itu, PAS Sarawak memandang berat keperluan utama masyarakat Sarawak terutama di luar bandar ketika musim agihan atau pembayaran Bantuan Prihatin Nasional,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zharudin menggesa kerajaan pusat dan negeri untuk segera melihat penyelesaian kepada permasalahan rakyat yang perlu beratur panjang untuk mengeluarkan duit di mesin ATM, yang kebiasaannya hanya terdapat satu bank sahaja di kawasan luar bandar. — DayakDaily