PAS Sarawak hulur bantuan makanan kepada 160 keluarga di Beting Maro

Ahli dan penyokong PAS Sarawak dengan bantuan makanan yang disalurkan kepada keluarga di Beting Maro.

KUCHING, April 19: PAS Sarawak telah menghulurkan sumbangan berupa makanan kepada sebanyak 160 keluarga di Beting Maro semalam.

Menurut Ketua Pemuda Hamdan Sani, masyarakat luar bandar sangat memerlukan perhatian berterusan dari kerajaan terutamanya dari wakil rakyat yang dipilih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rata-rata mereka bekerja sendiri dengan mengusahakan kebun dan apabila PKP dilaksanakan, pendapatan mereka berkurangan kerana hasil kebun sukar dijual.


“Wakil rakyat tempatan perlu menggandakan usaha membantu mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau juga turut menggesa pihak kerajaan untuk memudahkan urusan rakyat yang terpaksa beratur panjang di mesin ATM untuk mengeluarkan wang bantuan sama ada dari kerajaan pusat atau kerajaan negeri.

Menurut beliau, bantuan berupa makanan dengan jumlah lebih RM46,000 telah diagihkan oleh PAS Sarawak dalam PKP Fasa 1 dan Fasa 2.

“Bantuan pada Fasa 3 PKP ini diteruskan dengan memberi tumpuan kepada mereka yang sangat memerlukan bantuan dan tidak mendapat apa-apa bantuan mahupun dari kerajaan,” ujar beliau. — DayakDaily