PAS Sarawak cadang PH batalkan penubuhan MPKK di negeri ini

Zharudin Narudin

KUCHING, 22 Oktober: PAS Sarawak menggesa Paktan Harapan (PH) membatalkan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini.

Ketua penerangan Zharudin Narudin berkata peruntukan penubuhan MPKK boleh digunakan untuk melangsaikan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anak Sarawak.

“Pas Sarawak mencadangkan MPKK tidak perlu dilaksanakan dan alihkan peruntukan tersebut sebagai dana tambahan untuk melangsaikan hutang PTPTN anak Sarawak.


“Ini perlu sekiranya PH ikhlas mahu membantu rakyat Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

“Disinilah rakyat menilai siapa yang terus fokus membantu rakyat dan siapa pula yang hanya fokus untuk merosakkan apa jua sistem sedia ada hanya kerana kuasa politik,” beliau berpendapat.

Mengulas isu yang sama, Zharudin berkata PAS Sarawak menyokong usaha kerajaan negeri untuk meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikan hutang PTPTN.

Usaha tersebut bertepatan setelah kerajaan Pakatan gagal menunaikan manifesto mereka untuk menghapuskan hutang PTPTN, dakwa beliau.

“Ini juga selaras dengan aspirasi anak Sarawak yang mahu ramai lagi anak tempatan berjaya ke menara gading. Membina karier dalam kehidupan tanpa bayangan beban hutang pelajaran,” katanya.

Justeru, PAS Sarawak mencadangkan agar kaedah tersebut boleh dilihat dari sudut mereka yang layak memerlukan duit zakat. Kaedah perjanjian bersama syarikat dimana graduan bekerja untuk menaja hutang pelajaran mereka juga perlu diberi pertimbangan, cadang beliau.

“Pemberian biasiswa pasca graduasi dengan membayar pinjaman PTPTN tersebut oleh yayasan negeri.

“Atau potongan sebahagian peruntukan ADUN untuk diberi kepada sebahagian pelajar cemerlang yang meminjam PTPTN serta banyak lagi kaedah,” katanya.

Zharudin juga berkata kelestarian peruntukan khas untuk pendidikan seperti tabung pendidikan anak-anak Sarawak dari simpanan pelaburan khas hasil minyak dan gas juga boleh difikirkan.

Tambah beliau, PAS berharap kerajaan negeri terus kehadapan membantu rakyat negeri ini untuk mencapai kemakmuran bersama yang sepatutnya. — DayakDaily