KUCHING, 5 Jun: Permohonan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) bagi peniaga dan penjaja kecil yang tidak berlesen atau berpermit kini boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://community-service. sarawak.gov.my.
Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dr Morshidi Ahmad berkata, pemohon haruslah melampirkan bersama dokumen-dokumen yang diperlukan semasa mendaftar.
Antara dokumen yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan; gambar pasport terkini pemohon; gambar gerai/tempat perniagaan; dokumen sokongan pengesahan perniagaan; dan salinan lesen komposit/permit (jika berkenaan).
“Kesemua pemohon adalah dimestikan untuk mendaftar aplikasi SarawakPay untuk memudahkan proses pembayaran dilaksanakan.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada atau sebelum 30 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setelah permit dikeluarkan, peniaga kecil dan penjaja termasuk yang sedia ada akan layak menerima geran khas RM1,500 di bawah BKSS 6.0 yang akan dibayar dalam dua fasa, dengan RM750 pertama pada bulan Julai dan RM750 kedua pada bulan Disember 2021.
Dr Morshidi turut memberitahu peniaga yang telah menerima BKSS pada tahun lepas tidak perlu untuk membuat permohonan semula tetapi dikehendaki untuk mengemaskini status akaun Sarawakpay kepada DBKU di laman web yang sama.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 082-512955 jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat). — DayakDaily
Advertisement