Panggilan kecemasan Bomba meningkat 4,315 tahun ini

Khirudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil perhargaan kepada hero Bomba.

BETONG, 23 Dis: Sebanyak 4,315 peningkatan panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak tahun ini berbanding tahun lepas.

Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata peningkat sebanyak 45.97 peratus itu merekodkan panggilan kebakaran telah meningkat sebanyak 294 kes iaitu 18.02 peratus.

“Manakala panggilan kecemasan untuk tugas-tugas khas telah meningkat kepada 3,260 kes berbanding tahun lepas.


“Turut mencatat kenaikan adalah panggilan penyelamatan iaitu meningkat sebanyak 10.37 peratus iaitu naik sebanyak 762 kes,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Betong, hari ini.

Katanya, panggilan palsu pula mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 33.3 peratus berbanding tahun lepas.

Sementara itu, Bomba turut melancarkan Kalendar JBPM Negeri Sarawak tahun 2022 yang mana ianya telah dikeluarkan oleh Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat.

Khirudin dalam majlis tersebut turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua hero Bomba yang telah membantu memadam kebakaran pada 15 Disember lepas di Rumah Mandau Lempaong, di sini.

Dua wira terbabit ialah Peter Abot Mandau, 29 dan Hendry Mujah Ginchang, 25 tahun.

“Untuk rekod salah seorang hero kita yang membantu memadam kebakaran (Hendry Mujah) pernah mengikuti program summer camp di BBP Betong pada tahun 2019,” katanya. — DayakDaily