Pakatan pembangkang kitar semula slogan ‘tsunami politik’, kata Henry Sum

Henry Sum (duduk tengah) semasa mesyuarat persediaan PRU14 di Lawas.
Advertisement

LAWAS, April 22: Pakatan pembangkang masih mengitar semula slogan lama bagi meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, slogan ‘tsunami politik’ telah dikitar semula oleh pembangkang selepas ia digunakan sejak PRU12 lagi.

Jelasnya, pemilihan slogan lama yang digunakan semula jelas mencerminkan ketidakupayaan pakatan pembangkang dalam usaha meraih simpati daripada para pengundi.

Advertisement

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) hakikatnya masih merupakan kerajaan yang kuat dan mampu membawa perubahan serta pembangunan berterusan kepada rakyat.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru kepada para pengundi di Lawas supaya tidak mudah terpengaruh dengan slogan ‘tsunami politik’ kerana pembangkang tidak berpijak di bumi nyata,” katanya semasa mesyuarat persediaan PRU14 di sini.

Penyandang kerusi Parlimen Lawas itu menambah, kerjasama antara semua parti komponen BN amat penting bagi menghadapi cabaran pakatan pembangkang.

Jelasnya, pakatan pembangkang sentiasa berusaha menggunakan apa juga pendekatan meraih sokongan termasuk memecah belahkan masyarakat.

“Jadi, jangan sesekali mudah terikut-ikut dengan rentak pihak pembangkang yang hanya turun padang apabila musim pilihan raya tiba,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement