Pakar teknologi Sarawak digesa tingkatkan kemahiran – Abang Johari

Abang Johari menyerahkan skrol kepada salah seorang graduan Universiti Swinburne.

KUCHING, 17 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa anak tempatan Sarawak yang pakar dalam rekabentuk cip terus meningkatkan kemahiran agar seiring dengan kemajuan teknologi baharu.

Katanya, kajian hendaklah dilakukan bagi memastikan rekaan adalah bersesuaian dengan peranti baharu.

“Peranti sentiasa berubah dengan pantas, kajian mesti dilakukan bagi menghasilkan satu rekaan yang bersesuaian dengan peranti yang baharu.


“Maknanya pakar-pakar dalam bidang ini hendaklah meningkatkan tahap pengetahuan mereka,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Universiti Swinburne di Kuching hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yakin Universiti Swinburne membantu mengeluarkan graduan anak-anak Sarawak yang pakar dalam bidang teknologi khususnya rekabentuk cip.

Sarawak katanya berkehendakan ramai jurutera yang pakar dalam rekabentuk cip dan Universiti Swinburne ada menawarkan kursus berkaitan bidang ‘Artificial Intelligence’.

“Swinburne kini menawarkan kursus berkaitan sehingga ke peringkat ijazah bagi mereka mendalami ilmu rekabentuk cip.

” Ini membantu kita dalam mengeluarkan graduan yang pakar dalam bidang rekabentuk industri dan chip, sekaligus dapat menampung keperluan kita dalam bidang ini,” ujar Abang Johari.

Sementara itu beliau memaklumkan sejumlah 20 jurutera yang pengkhusuan mereka dalam industri itu, telah kembali dari luar bagi merealisasikan usaha negeri itu dalam mereka bentuk dan menghasilkan mikrocip yang mempunyai permintaan tinggi.

“Kita memerlukan 30 lagi jurutera (rakyat Sarawak) untuk sebuah syarikat semikonduktor,” ujar Abang Johari. — DayakDaily