Oleh Brad Rantayy
MIRI, 10 Mei: Seorang lelaki ditahan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri kerana membawa minyak diesel bersubsidi tanpa permit.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di tepi jalan Krokop Utama pada Isnin sekitar jam 9 malam.
“Dalam operasi ini yang dinamakam Ops Taring Kontraban, anggota URM telah menahan dan memeriksan sebuah van Nissan Vanette berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan,” ujarnya.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, polis mendapati ia membawa muatan minyak diesel bersubsidi tanpa dokumen anggaran 1,000 liter bernilai RM2,150 yang disimpan di dalam sebuah tangki yang telah diubah suai.
Katanya, anggaran keseluruhan rampasan dianggarkan RM31,450.
Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily