Padah pukul dan tarik rambut isteri, seorang lelaki dicekup polis

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

SIBU, Jan 6: Padah disyaki memukul isterinya, seorang lelaki diberkas oleh polis dalam satu operasi di Jalan Tiong Hua di sini petang semalam.

Suspek berusia 44 tahun tersebut dicekup susulan laporan polis yang diterima berhubung insiden berkenaan.


Menurut sumber, laporan polis terhadap suspek dilakukan oleh anak perempuan kepada mangsa selepas menyaksikan bapa dia memukul dan menarik rambut ibunya itu.

Katanya, akibat risau ibunya cedera dan risau keselamatan wanita berkenaan, anak yang berusia 17 tahun tersebut nekad membuat laporan polis.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan di bawah pengaruh bahan larangan semasa memukul isterinya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Acp. Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Jelasnya, suspek terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

“Suspek juga disiasat mengikut 18A Kekerasan Rumahtangga (KRT),” katanya. — DayakDaily