Padah naik bumbung rumah, peragut cedera parah selepas terjatuh

Inilah lokasi suspek ditemui terjatuh selepas meragut seorang wanita, malam tadi.
Advertisement

KUCHING, April 8: Seorang peragut cedera parah pada bahagian lehernya selepas dia terjatuh dari bumbung sebuah rumah sewa di Bayang Estate, Jalan Wan Alwi di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.48 malam itu, suspek terbabit bertindak melarikan diri dan naik atas bumbung sebuah rumah selepas meragut seorang wanita berusia 26 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, sebelum kejadian, suspek telah bertindak meragut seorang pembantu makmal yang baru sampai di rumah sewanya.

Advertisement

Katanya, ketika mangsa sedang membuka pintu pagar rumah sewanya, suspek tiba-tiba menutup mulut mangsa dari arah belakang.

“Mangsa kemudian cuba melawan tetapi suspek telah menumbuk mukanya beberapa kali hingga menyebabkan dia terjatuh.

“Suspek kemudian menarik beg tangan mangsa dan wanita itu telah diheret sehingga ke pintu pagar rumah sebelum suspek berjaya meragut beg tangan tersebut dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, mangsa kemudian menjerit meminta bantuan orang awam.

Katanya, orang awam yang menyedari insiden itu kemudian membantu mangsa.

“Suspek cuba melarikan dengan memanjat belakang sebuah rumah lain di taman perumahan berkenaan.

“Akibatnya, dia kemudian terjatuh dari atas bumbung ke dalam bilik jemuran pakaian lalu tidak sedarkan diri. Suspek kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya lagi.

Dev menambah, polis sudah menemui beg tangan serta telefon bimbit milik mangsa.

“Pisau pemotong sayur yang disyaki milik suspek turut dirampas,” katanya. — DayakDaily

Advertisement