Padah miliki dadah dan pistol tiruan, enam lelaki dicekup

Kelihatan dadah yang dirampas daripada enam suspek di Kampung Grogo, Bau.
Advertisement

BAU, Julai 20: Tindakan enam lelaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki senjata api tiruan akhirnya mengundang padah apabila mereka dicekup menerusi satu serbuan yang dilakukan polis.

Keenam-enam suspek yang berumur antara 17 hingga 32 tahun terbabit dicekup anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di Kampung Grogo di sini.

Ketua Polis Daerah Bau, Dsp Mohd. Sabri Zainol berkata, semua suspek termasuk seorang remaja lelaki itu diberkas pada pukul 12.05 tengah hari.

Advertisement

Katanya, kejayaan serbuan tersebut adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan oleh pihak polis sebelum ini.

“Semasa serbuan itu, kesemua suspek yang berada di dalam sebuah rumah di kampung berkenaan terkejut dengan kehadiran anggota polis.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua peket kecil plastik lutsinar serta sepeket plastik besar mengandungi dadah disyaki jenis syabu di atas lantai rumah berkenaan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri memberitahu, pemeriksaan lanjut menjumpai sepucuk pistol yang disembunyikan di tingkap luar rumah berkenaan.

Jelasnya, dadah seberat 1.53 gram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM300.

“Ujian air kencing yang dilakukan ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kesemua suspek terbabit ditahan reman selama empat hari bagi siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement