KOTA SAMARAHAN, April 10: Gara-gara membuat pusingan U, seorang pembonceng motosikal temui ajal, manakala penunggangnya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta di KM11, Jalan Samarahan-Tabuan Jaya di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu mengakibatkan, mangsa, Drus Anis, 52, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada kepala dan badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt, Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menaiki sebuah motosikal Yamaha bersama rakannya dikatakan menuju ke Kota Samarahan dari Taman Unigarden di sini.
Katanya, tindakan cuai penunggang motosikal yang berusia 55 tahun yang tiba-tiba membuat pusingan U kemudian mengakibatkan mereka dirempuh sebuah kereta Honda Civic.
“Kesan perlanggaran itu telah menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah.
“Drus Anis disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala rakannya yang parah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu Honda Civic yang berusia 26 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan, namun bahagian keretanya remuk.
Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu tersebut, manakala mayat mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily