Pacakan bendera di Betong, PRN12 sebelum berakhir 2021?

Bendera parti dipacak dengan jumlah yang banyak di satu lokasi sepanjang LebuhRaya Pan Borneo di kawasan Betong.
Advertisement

Oleh Pasukan D’Drift

SIMANGGANG, 19 Okt: Himpunan bendera beberapa parti politik yang terpacak di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Betong bagaikan menandakan Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) semakin hampir.

Pasukan D’Drift yang di dalam perjalanan dari Sibu ke Simanggang hari ini mendapati himpunan bendera itu jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan kawasan lain di negeri ini.

Advertisement

Ini dikukuhkan lagi dengan khabar angin serta perbualan di kedai kopi yang Sarawak bakal mengadakan PRN12 sebelum berakhir tahun ini, mengikut jejak Melaka.

Bagi mendapatkan kepastian, pasukan D’Drift berhenti di RNR Simpang Layar dan menemuramah seorang pengusaha gerai makanan Roslind Banun Wat, 49 tahun, yang berasal dari Rh Luban Ili, Betong.

Tidak pasti sama ada ia merupakan satu bentuk kempen dari parti-parti politik, namun kata Roslind bendera tersebut memang sudah terpacak sekitar bulan April dan Mei 2021 lepas.

“Ia adalah persiapan parti-parti politik pada masa itu kerana tempoh Dewan Undangan Negeri tamat pada 6 Jun 2021.

“Tetapi, negara pada ketika itu dibawah perintah darurat kesihatan ekoran pandemik Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021.

“Kemudiannya, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) sehingga 2 Februari 2022 yang sekaligus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan,” kata Roslind.

Tambah beliau, setakat ini di Betong masih belum ada lagi aktiviti berkempen secara agresif daripada mana-mana parti.

Dari kiri: Roslind dan Veronica ketika ditemui di RNR Simpang Layar.

Dalam pada itu, Roslind mengharapkan PRN12 dapat diadakan setelah masalah wabak Covid-19 reda demi keselamatan rakyat khususnya golongan berisiko tinggi.

Katanya, aktiviti berkempen seperti kebiasaannya akan menghimpunkan ramai orang dan ini mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19.

“Sekarang pun kita masih bertarung menentang Covid-19, setiap hari ada sahaja kes kematian direkodkan di Sarawak.

“Pastikan dahulu masalah ini dikawal sepenuhnya. Kalau kes positif semakin meningkat sudah tentu kita kembali seperti dahulu dengan pelbagai sekatan pergerakan.

“Kami golongan peniaga sudah tentu sekali lagi akan rugi,” ujar beliau.

Namun katanya, jika PRN12 diteruskan juga dalam tempoh terdekat, beliau akan tetap menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.

“Jika diberi pilihan sudah tentu saya berharap pilihanraya ditangguhkan dahulu dan saya fikir kebanyakan rakyat pun mahukan sedemikian.

“Jika diteruskan juga, saya tetap akan keluar mengundi,” jelas Roslind.

Dalam pada itu, Veronica Timah ketika ditemui bersama Roslind bersetuju PRN12 ditangguhkan dan mengikut tempoh Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan.

Katanya, rakyat sekarang sudah faham dan mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Justeru, ujar beliau, amatlah penting untuk keadaan ini dikekalkan demi kepentingan bersama.

“Mengadakan pilihanraya pada masa terdekat boleh mengundang bahaya, kita tidak mahu seperti negeri jiran,” katanya. — DayakDaily

Advertisement