Orang ramai digesa jumpa doktor psikiatri, bukan bomoh kalau menghadapi masalah mental

Fatimah (kanan) bersama kakitangan Hospital Sentosa menunjukkan poster Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-5 sebelum mengadakan sidang media mengenai persidangan itu di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini hari ini.
Advertisement

KUCHING, 5 Mac: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mahu penduduk negeri ini yang mengalami masalah mental terlebih dahulu bertemu doktor psikiatri di Hospital Sentosa di bandaraya ini bagi mendapatkan rawatan dan bukannya terlebih dahulu mendapatkan rawatan dari bomoh atau dukun.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian berikutan doktor psikiatri hospital sakit mental terbabit memaklumkannya yang ramai penduduk negeri ini hanya akan mahu bertemu dengan mereka setelah masalah mental dihadapi menjadi serius dan ada diperingkat yang sudah lewat dirawati.

“Ini kerana mereka biasanya akan mencari kaedah rawatan lain terlebih dahulu sebelum bertemu dengan doktor di hospital terbabit, adakalanya dengan bomoh atau dukun kerana beranggapan yang masalah mental mereka disebabkan terkena perbuatan sihir atau ilmu hitam orang lain,” katanya ketika mengadakan sidang media bersama warga Hospital Sentosa mengenai Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-5 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di
sini, hari ini.

Advertisement

Fatimah malahan mendedahkan ramai penduduk negeri ini juga khuatir bertemu dengan doktor psikiatri di hospital itu sekiranya menunjukkan gejala menghadapi masalah mental seperti ada mendengar suara atau melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat orang lain kerana tidak mahu dianggap sebagai “orang gila” selepas itu.

Katanya dari pengalaman pihaknya, mereka yang mengalami masalah mental di negeri ini adalah bukan disebabkan perbuatan sihir atau ilmu hitam tetapi disebabkan kesan penyalahgunaan dadah atau mengalami kemurungan yang teruk kerana pernah menjadi mangsa dera ketika kanak-kanak ataupun selepas kematian ahli keluarga.

Disamping itu, kehidupan yang amat tertekan termasuk sebagai pelajar institusi pengajian tinggi juga boleh menyebabkan masalah mental dan sekiranya lewat dirawati boleh menyebabkan penghidapnya sehingga mencederakan diri sendiri ataupun membunuh diri.

“Jadi saya menyeru penduduk negeri ini yang menghadapi masalah mental supaya segera berjumpa doktor psikiatri di Hospital Sentosa, ketika ini hospital terbabit ada mempunyai empat orang doktor psikiatri,” katanya, dengan orang ramai juga boleh berjumpa doktor psikiatri di Hospital Serian, Hospital Sri Aman dan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau mendedahkan Hospital Sentosa di Kota Sentosa menerima seramai 110 pesakit mental baru tahun lepas yang meningkat dibandingkan seramai 105 pesakit baru pada 2016 dan seramai 96 pesakit baru pada 2015.

“Manakala pesakit mental yang mendapat rawatan luar di Hospital Sentosa ialah seramai 306 orang pada tahun lepas, seramai 342 orang pada 2016 dan seramai 369 orang pada 2015,” katanya.

Sehubungan bilangan pesakit mental yang semakin bertambah di negeri ini, Fatimah mempelawa pihak yang berminat dengan isu kesihatan mental di negeri ini supaya menyertai Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-5 yang akan diadakan pada April 9 dan 11 depan di Imperial Hotel di bandaraya ini.

“Kami mensasarkan persidangan ini akan mendapat seramai 300 hingga 400 peserta yang terdiri dari doktor, pembantu perubatan, jururawat dan profesional kesihatan serta orang ramai,” katanya.

Katanya persidangan terbabit juga akan mempunyai sebanyak lima bengkel mengenai kesihatan mental dengan tarikh tutup penyertaannya ialah pada April 2 depan dengan mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 082-612132/612321, email 5thsmhc2018@moh.gov.my serta melalui laman Facebook di @5THSMHC2018. ā€” DayakDaily

Advertisement