Orang ramai digesa guna WhatsApp untuk berkongsi maklumat dengan KPDNHEP

Laman portal rasmi KPDNHEP hari ini yang ada pengumuman minta orang ramai mula berkongsi maklumat atau membuat aduan kepada kementerian itu melalui WhatsApp.

KUCHING, Sept 26: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu orang ramai mula mengunakan aplikasi WhatsApp dalam telefon pintar bagi berkongsi maklumat atau menghantar aduan kepada kementerian terbabit.

Menurut Unit Komunikasi Koperat KPDNHEP dalam portal sesawang rasmi kementerian itu, orang ramai boleh berbuat demikian selepas menaipkan “Aduan Pengguna” kemudian menekan “hantar” ke nombor 019-279 4317.

Orang ramai kemudian akan menerima maklumbalas secara automatik dan diminta mengisi butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, nama premis, alamat premis, keterangan aduan, gambar bukti sekiranya ada.


“Sekiranya aduan berkenaan transaksi dalam talian, mohon kemukakan nama bank dan nombor akaun bank atau nombor transaksi FPX yang terlibat,” menurut portal sesawang rasmi kementerian itu.

Setelah selesai orang ramai perlu menaip “TAMAT” dan kementerian itu mengingatkan yang hanya aduan pesanan teks sahaja yang akan diproses pihaknya.

Disamping itu dalam portal terbabit, KPDNHEP juga mendedahkan statistik Ops Catut 5.0 dari Sept 1 hingga 25, 2018 yang keseluruhannya kementerian itu telah memeriksa sebanyak 13,557 premis perniagaan seluruh negara yang terbahagi kepada bilangan peruncit (12,844 premis), pemborong (382 premis), pengilang (166 premis), pengedar (101 premis) dan pengimport (64 premis).

Manakala jumlah notis Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) yang sudah dikeluarkan dalam ops itu adalah sebanyak 120 notis dibawah Seksyen 21 dan sebanyak 825 notis dibawah Seksyen 53A.

Portal sesawang rasmi kementerian adalah di https://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkk. — DayakDaily