Orang awam selamatkan warga emas cuba bunuh diri

Orang awam menyelamatkan mangsa yang cuba membunuh diri.
Advertisement

KUCHING, Feb 11: Seorang lelaki warga emas yang nekad membunuh diri dengan cuba menggantung diri dari dahan sebatang pokok berjaya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan melalui Jalan Astana di sini semalam.

Lelaki berusia 72 tahun itu diselamatkan oleh orang awam kira-kira pukul 6.55 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, siasatan awal mendapati warga emas itu mempunyai masalah kesihatan Parkinson sejak tahun 2016.

Advertisement

Menurutnya, berdasarkan keterangan cucu mangsa, ini merupakan kali pertama datuknya bertindak menggantung diri.

“Cucu lelaki itu menafikan datuknya berbuat demikian kerana berdepan masalah kewangan.

“Mangsa telah dirujuk ke hospital mental untuk menjalani pemeriksaan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Ahmad menambah, siasatan lanjut mendapati mangsa dikatakan sering bercakap seorang diri dan berperangai pelik sejak akhir-akhir ini.

“Buat masa ini, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement