Ops SAR Tinjar: Belum ada petunjuk baharu ditemui

Anyi meninjau pos kawalan bomba.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MARUDI, Jun 20: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang memasuki hari keempat di Rh Jemat, Sungai Sebatu di Tinjar, dekat sini, masih belum menemui petunjuk baharu.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata radius pencarian operasi SAR sepanjang hari ini adalah sekitar 3km.

Advertisement

Menurutnya, kaedah pencarian dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing dan kawasan pencarian yang telah ditetapkan.

“Antara lokasi pencarian ialah di sekitar kawasan tepi sungai termasuk kawasan hutan berhampiran rumah panjang.

“Namun, pasukan SAR belum menemui sebarang petunjuk positif lagi dan operasi akan disambung esok,” katanya di sini hari ini.

Operasi SAR sedang dijalankan.

Law menambah, pada hari ini juga penduduk kampung juga mengadakan upacara adat (miring) di tempat kejadian mangsa dipercayai  hilang.

“Operasi ditangguhkan pada pukul 5 petang memandangkan keadaan cuaca semakin gelap,” katanya.

Turut berada di lokasi kejadian dalam operasi hari ini ialah Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki, Malling Salleh, 69, dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Ahad lalu. — DayakDaily

Advertisement