Oleh Dean Adam
MIRI, Okt 20: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga India yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dari Jeti Ekspres Lama Kuala Baram di sini sejak Selasa lalu belum ditemui sehingga hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong, berkata operasi SAR mangsa, Azad, 25, yang memasuki hari keempat, belum lagi menemui sebarang petunjuk positif.
Katanya, pihak bomba masih meneruskan operasi dengan menggunakan teknik di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Pasukan bomba melakukan operasi di sekitar dua kilometer ke hulu dan tiga kilometer ke hilir sungai di situ.
“Setakat kini mangsa masih belum dijumpai dan setelah berbincang dengan pihak polis dan Lembaga Sungai-Sungai, operasi ditangguhkan sementara sehingga terdapat petunjuk baharu,” katanya di sini hari ini.
DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang pekerja kapal tunda warga India dilaporkan hilang di Jeti Ekspres Lama Kuala Baram di sini.
Berdasarkan laporan diterima, kali terakhir mangsa kelihatan ialah pada Ahad lepas kira-kira pukul 8 hingga 9 malam.
Ketika itu, mangsa dikatakan bersama rakan-rakan sedang makan dan minum bersama di atas sebuah kapal tunda yang dimiliki oleh Syarikat Kuari Rakyat No 8. — DayakDaily