Ops SAR Nur Syahadah ditangguhkan selepas seminggu gagal kesan mangsa

Pasukan SAR melakukan operasi mencari Nur Syahadah sebelum ia ditangguhkan.

Oleh Dean Adam

KABONG, Dis 30: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai di Pengkalan Perahu Tambang di sini ditangguhkan selepas memasuki hari ketujuh mangsa berusia 10 tahun itu masih gagal ditemui.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, keputusan penangguhan operasi SAR itu dilakukan hasil perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir, Pegawai Daerah Kabong,  Kamaruddin Alkab, ibu bapa mangsa iaitu Nur Syahadah Fatihah Imam serta pasukan penyelamat lain.


Menurutnya,  operasi SAR akan disambung semula sekiranya terdapat penemuan baharu atau jejak mangsa yang hilang.

“Operasi SAR yang sudah seminggu dilakukan ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah hari,” ujarnya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar memancing ikan di pengkalan perahu di sini.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan tidak pulang ke rumahnya hingga pukul 6 petang.

Berdasarkan maklumat diterima, bapa kepada mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu mengatakan anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing ikan. -DayakDaily