BAU, Sept 19: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Gunung Singai pada Isnin lalu masih gagal menemui petunjuk positif.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga telah dipecahkan kepada dua kawasan iaitu kumpulan pertama di sekitar Gunung Singai, manakala satu kumpulan lagi berdekatan kawasan Tanjong Poting di sini.
Jelasnya, jarak pencarian adalah sekitar 5 kilometer (km), namun sehingga kini mangsa masih belum dijumpai.
“Operasi SAR ini turut disertai oleh anggota pasukan keselamatan lain iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Tidak ketinggalan anggota Rela serta kumpulan pendaki gunung serta penduduk setempat,” katanya di sini hari ini.
Ebby menambah, operasi hari ini ditangguhkan pada pukul 7.05 malam dan akan disambung semula pagi esok.
DayakDaily sebelum ini melaporkan mangsa, Stanley Kho, 22, dikhuatiri hilang di kawasan hutan gunung tersebut pada pukul 11.50 malam, Isnin.
Pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada rakan mangsa pada pukul 4.35 petang.
Sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa. — DayakDaily