Ops SAR lelaki jatuh sungai ditamatkan selepas memasuki hari ketujuh

Anggota bomba sedang berusaha mencari mangsa yang dilaporkan hilang.
Advertisement

Oleh Dean Adam

TATAU, Nov 2: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh di Sungai Kampung Haji Ismail di Kuala Tatau, di sini, sejak 26 Okt lepas telah dihentikan sepenuhnya selepas mangsa gagal ditemui.

Operasi SAR mangsa, Zaidiya Zaini, 34, yang memasuki hari ketujuh itu telah ditamatkan pada pukul 5.50 petang.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, operasi berkenaan ditamatkan hasil perbincangan antara pasukan SAR bersama keluarga mangsa selepas lelaki berkenaan masih belum dijumpai.

“Bagaimanapun, operasi sama akan  diaktifkan semula sekiranya ada petunjuk baharu di kawasan kejadian,” katanya di sini hari ini.

Ops SAR ditamatkan setelah masuk hari ketujuh.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang mencari besi di bawah sebuah jambatan di Kampung Haji Ismail, setelah dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

Tiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.01 petang.

Jelasnya, sejurus mendapat maklumat insiden itu, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Berdasarkan maklumat daripada adik mangsa, sebelum kejadian mangsa sedang menjalankan aktiviti mencari besi di bawah jambatan tersebut. Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila mangsa dibawa arus sungai yang deras sebelum kelibatnya hilang,” katanya. — DayakDaily

Advertisement