Oleh Dean Adam
MARUDI, Jun 24: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan hutan berhampiran Rumah Jemat, Sungai Sebatu, Tinjar ditangguhkan hari ini selepas seminggu operasi yang dilaksanakan gagal menemui seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, mangsa, Malling Salleh, 79, masih gagal ditemui meskipun selepas seminggu operasi SAR dilakukan.
Katanya, operasi SAR itu ditangguhkan selepas melakukan perbincangan dengan ahli keluarga mangsa.
“Operasi SAR ditangguh secara rasmi pada pukul 5 petang tadi sehingga ada petanda baharu ditemui,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, penduduk rumah panjang di situ akan mengadakan upacara ‘rapuh’ esok.
Katanya, menurut adat mereka, sekiranya badan mangsa tidak ditemui, mereka membuat adat yang dinamakan ‘rapuh’.
“Semua barang barang mangsa yang ditemui dan pakaian mangsa akan disimpan di dalam tajau,” katanya. — DayakDaily