Ops Mabuk di Jalan Simpang Tiga, Kuching tahan 4 individu

Ops Mabuk di Jalan Simpang Tiga, Kuching malam tadi (23 April, 2021).

KUCHING, 24 April: Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 19 hingga 53 tahun ditahan polis kerana disyaki memandu dalam pengaruh alkohol pada Ops Mabuk yang diadakan di Jalan Simpang Tiga di sini malam tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuching Supt Merbin Lisa, hasil ujian mendapati dua lelaki dengan kandungan alkohol berlebihan manakala dua yang lain termasuk wanita tidak melebihi had.

“Tiga orang lelaki tempatan berumur 19, 48 dan 53 tahun serta seorang perempuan tempatan berumur 21 tahun telah ditahan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol.


“Hasil ujian menggunakan alat EBA mendapati dua lelaki tempatan tersebut positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 165mg/100ml dan 86mg/100ml.

“Manakala seorang lelaki dan seorang perempuan tempatan yang lain didapati negatif alkohol iaitu tidak melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Merbin, jika disabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Pada sekatan tersebut, sebanyak 21 keping saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh pihak polis dan 60 buah kenderaan serta 71 orang telah diperiksa.

Sekatan bermula jam 9 malam dan berakhir awal pagi tadi. — DayakDaily