KUCHING, Jun 6: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri maut selepas dipercayai terkena ‘propeller’ atau kipas bot di Muara Sungai Tabuan di sini hari ini masih belum menemui mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Faisal Saari berkata, operasi SAR dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar kawasan tempat kejadian.
Namun katanya, pasukan bomba masih belum menemui sebarang petunjuk positif di sekitar lokasi insiden.
“Anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Batu Lintang juga membantu dengan membuat selaman di tempat kejadian.
“Arus sungai yang deras telah membataskan pencarian melalui selaman dan operasi SAR ditangguh pada pukul 5.35 petang dan operasi sama akan disambung esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri maut selepas disyaki terkena ‘propeller’ atau kipas sebuah bot di Muara Sungai Tabuan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Herianto Ramli, 53, dari Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia dilaporkan hilang selepas dikatakan membuat pemeriksaan ‘propeller’ bot Ocean Glory yang rosak.
Berdasarkan laporan kapten kapal itu, dia telah menyuruh salah seorang kru kapal untuk melakukan pemeriksaan ‘propeller’ bot yang mengalami kerosakan.
Selepas membuat kerja-kerja pemeriksaan, kru kapal berkenaan kemudian naik semula ke atas sebelum kapten itu menghidupkan enjin bot terbabit.
Bagaimanapun, setelah menghidupkan enjin bot berkenaan, salah seorang kru kapal kemudian melihat terdapat kesan darah di permukaan sungai itu.
Kapten bot tersebut kemudian mengarahkan kru kapal membuat pemeriksaan sebelum mendapati mangsa tidak berada di atas bot dan mengesyaki mangsa telah turun dari bot dan tanpa disedari terkena kipas bot itu semasa kapten menghidupkan enjin bot. — DayakDaily