Operasi rabies ikut SOP — Polis

Dog sleeping in the streets — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 13: Operasi Wabak Rabies yang telah dijalankan di beberapa daerah di sini semenjak bulan lepas telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, SOP
itu dirangka menggunapakai undang-undang sedia ada iaitu Laws Of Sarawak, Chapter 32 – Veterinary Public Health Ordinance 1999.

Advertisement

Jelasnya, para petugas yang menjalankan operasi tersebut juga adalah terlatih dan telah diberikan penerangan terperinci berlandaskan peraturan, undang-undang dan SOP sedia ada.

“Mulai 1 hingga 10 Mac lepas, operasi fasa pertama telah dilaksanakan di daerah Lundu dan Bau. Seterusnya fasa kedua mulai 4 hingga 13 April di daerah Padawan dan Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Dzuraidi menambah, pihak keselamatan juga menafikan tuduhan yang dilemparkan di media sosial mengenai pasukan operasi rabies Sarawak memasuki kawasan persendirian tanpa kebenaran dan menembak anjing sesuka hati adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, bagi memasuki kawasan persendirian para petugas operasi meminta izin pemiliknya terlebih dahulu dan anjing-anjing yang ditembak adalah anjing liar dan didapati berkeliaran bukannya di dalam rumah tuannya.

“Resolusi juga telah dicapai menerusi satu bengkel awal tahun ini dengan objektif utama iaitu mencari, menangkap dan menidurkan anjing-anjing liar serta mengawal pergerakan anjing di kawasan operasi,” ujarnya.

Masyarakat umum juga dinasihatkan agar menghubungi pihak polis, kerajaan negeri dan agensi berkaitan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan atau Unit Komunikasi Awam Sarawak bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan operasi ini. — DayakDaily

Advertisement