Operasi padam kebakaran hutan di Taman Negara Similajau diteruskan

Anggota bomba dan SFC berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

BINTULU, April 3: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Taman Negara Similajau yang memasuki hari keenam diteruskan hari ini.

Operasi yang dijalankan pada pukul 8.30 pagi itu menyasarkan kawasan terbakar yang berkeluasan anggaran kira-kira 9 ekar dan terletak kira-kira 1500 kaki dari ‘staging point’ kedua.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kaedah ‘relay pumping’ sejauh 1,500 kaki dengan kekuatan 2 buah pam sehingga ke nozel masih diteruskan termasuk bantuan menggunakan air dari jentera ‘Prime Mover Tanker’ sebagai medium pemadaman.

Katanya, operasi pemadaman tersebut telah dilakukan oleh seramai 32 anggota bomba dan 26 anggota Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Anggota bomba dan SFC berusaha memadam kebakaran.

“Setakat pukul 2.41 petang, air dari jentera Prime Mover Tanker’ telah diisi semula sebanyak tiga kali dengan melibatkan sebanyak 66 ribu liter air,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, bagi kawasan Spot 3 yang berkeluasan 3 ekar, pasukan operasi berjaya memadam kebakaran itu sepenuhnya.

Katanya, pemadaman di lokasi Spot 2 juga telah berjaya dipadam sepenuhnya.

“Bagi Spot 1 pula, masih terdapat kebakaran di kawasan hutan seluas kira-kira 6 ekar di situ.

“Memandangkan cuaca beransur gelap di lokasi, operasi ditangguhkan kira-kira pukul 6 petang,” katanya. — DayakDaily