Operasi menyelamat penyelam hilang di Pulau Satang masih diteruskan

Pasukan penyelamat melakukan taklimat berkenaan operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 20 April: Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching meneruskan koordinasi Ops Carilamat hari ketiga ke atas seorang penyelam yang dilaporkan hilang pada 17 April, sekitar 23 batu nautika dari perairan Pulau Satang Besar, Kuching, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Yousry Yaali berkata, keluasan sektor pencarian di laut merangkumi seluas 373.73 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Satang Besar yang melibatkan aset Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM).


Chong Su Sian, 31, dipercayai hilang semasa menjalankan aktiviti menyelam di sekitar Pulau Satang pada jam 4.20 petang, 17 April yang lalu.

Manakala pencarian melalui udara oleh aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM melibatkan keluasan 118.80 batu nautika persegi,

“Turut dilakukan ialah pencarian menggunakan dron oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sekitar 165 batu nautika persegi dari Tanjung Sipang ke Utara.

“Pasukan penyelam PPM turut melakukan pencarian dengan menyelam di lokasi terakhir mangsa dikatakan hilang, manakala anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba) melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Satang Besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat jam 4.00 petang, petugas Carilamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkenaan dengan mangsa.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily