Operasi khas bersih tanaman di Samunsam berjaya

Anggota Batalion Ke-11 RAMD bersama agensi lain berkaitan termasuk tentera Indonesia bergotong-royong membersihkan kebun haram dibuka oleh penduduk Indonesia di kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam, Telok Melano di Lundu.

TELOK MELANO, Mac 7: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera National Indonesia (TNI) telah berjaya menjalankan satu operasi khas pembersihan tanaman di kawasan sempadan Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam persempadan Malaysia-Indonesia, semalam.

Ketua Pegawai Operasi Khas tersebut, Penolong Pengarah Hutan Kanan Abdul Wahab Ahmad berkata, proses tersebut telah lama dibincangkan diantara kedua-dua negara dan sehinggalah berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, kawasan yang telah ditanam dengan pokok-pokok getah dan juga tanaman lain itu telah mula diusahakan oleh penduduk kampung di Camar Bulan, daerah Sambas, Indonesia sejak lapan hingga sembilan tahun lalu.

“Namun dengan semangat kejiranan dan persahabatan selama ini bersama pemerintah Indonesia maka operasi tersebut telah dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa sebarang insiden buruk di antara kedua-kedua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhd Bustaman (enam dari kanan) bergambar bersama wakil agensi berkuasa Malaysia dan Indonesia dalam Majlis Penutupan Kerja Pembersihan Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam di Teluk Melano, Lundu.

Merasmikan penutupan operasi khas tersebut ialah Panglima 3 Briged Angkatan Tentera Malaysia, Muhd Bustaman Mat Zin dan Leftenan Kolonel Tentera Indonesia, Abdul Rahman .

Hadir sama adalah pegawai Kedutaan Indonesia di Kuching, pegawai kanan dari kedua-dua negara, dan penduduk-penduduk kampung dari Telok Melano dan juga Sambas.

JHS turut mendapat kerjasama dalam operasi tersebut dari pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Imigresen, Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd, Pejabat Residen Kuching dan penduduk tempatan di Kampong Telok Melano dan juga Sambas, Indonesia. — DayakDaily