Op Tapis Khas: Sembilan ditangkap kerana dadah di Serian

Gambar komposit menunjukkan sekitar operasi tersebut.

SERIAN, 27 Feb: Seramai sembilan lelaki tempatan ditangkap dalam Op Tapis Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Serian dari 23 hingga 25 Februari baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Katanya, tangkapan dibuat di beberapa buah kampung di sekitar daerah tersebut hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat.


“Sepanjang operasi diadakan, seramai sembilan lelaki ditangkap, manakala dadah yang dirampas adalah sebanyak empat tiub penyedut serta satu paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek kemudian dibawa ke Pejabat BSJN IPD Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

“Manakala kesalahan positif dadah pula akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952,” katanya.

Kedua-dua seksyen tersebut membawa hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.

“IPD Serian akan menjalankan operasi ini secara berterusan bagi mengekang kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di Serian, terutamanya di kawasan kampung.

“Justeru, kita juga sentiasa mengharapkan orang ramai untuk sentiasa peka mengenai penyalahgunaan dadah dan mengalukan mereka untuk menyalurkan maklumat kepada kita,” katanya. — DayakDaily