Op Selamat Hari Raya mulai 20 hingga 27 April

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING, 19 April: Seramai 750 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dari pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat dalam Op Selamat Ke-20 sempena sambutan perayaan Hari Raya 2023.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi bermula dari 20 hingga 27 April ini.

Katanya, anggota yang terbabit akan menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan juga keselamatan rumah yang ditinggalkan dalam keadaan selamat di seluruh Sarawak.


Jelasnya, tumpuan Op Selamat ke-20 adalah di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran terutamanya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas dan juga kawasan perumahan dan penempatan orang ramai.

“Jumlah lokasi rondaan operasi jalan raya bagi Sarawak adalah sebanyak 56 lokasi yang kerap berlaku kemalangan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menyeru dan menasihati pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguatkuasa yang bertugas sepanjang tempoh operasi dijalankan.

“Pihak polis turut memaklumkan kepada orang awam agar memberikan kerjasama dengan memaklumkan kepada pihak polis apabila meninggalkan rumah kediaman semasa musim perayaan ini,” katanya. — DayakDaily