Op Selamat 2018: Jumlah kemalangan maut menurun, 12,699 saman dikeluarkan

PDRM logo

KUCHING, Julai 2: Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di Sarawak mencatatkan penurunan dari segi keseluruhan jumlah kemalangan iaitu sebanyak 680 kes berbanding pada tahun ini berbanding 692 kes untuk tahun 2017.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, statistik yang direkodkan itu menunjukkan penurunan sebanyak 12 kes atau 1.7 peratus.

Menurutnya, kes kemalangan maut yang dicatatkan juga menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 10 kes pada Op Selamat 2018 berbanding 13 kes tahun sebelumnya.


“Jumlah kematian direkodkan turut merekodkan penurunan sebanyak 23.1 peratus atau tiga kes berbanding tempoh yang sama dalam Op Selamat 2017.

“Pengguna motosikal dan kereta adalah golongan yang paling ramai terkorban akibat kemalangan jalan raya iaitu masing-masing tiga orang atau 60 peratus daripada 10 kematian yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Alexson menambah, kes kematian lain adalah melibatkan dua orang pejalan kaki dan masing-masing seorang melibatkan pengguna kenderaan pacuan empat roda dan pengguna lain-lain.

Katanya, berdasarkan siasatan punca-punca kemalangan maut itu adalah disebabkan daripada kesalahan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat.

“Faktor lain ialah pengguna keluar simpang tanpa memberi signal atau memandu kenderaan dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan lalu terbabas sendiri.

“Jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang 15 hari Op Selamat 2018 iaitu mulai Jun 8 hingga 22 lalu pula ialah sebanyak 12,699 saman,” ujarnya lagi.

Sambil menambah, Op Selamat 2018 sempena Hari Raya Aidilfitri telah berjalan lancar dengan penglibatan kira-kira 850 pegawai dan anggota polis dari seluruh negeri ini. — DayakDaily