Op Mabuk: Tiga lelaki ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol

Gambar komposit semasa operasi tersebut dijalankan.

SARIKEI, 28 Jan: Sebanyak 25 saman atas pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya menerusi Op Mabuk yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei sempena Op Selamat 17.

Polis Sarawak melalui akaun Facebooknya memberitahu seramai tiga individu lelaki berusia 38 hingga 48 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Dalam pada itu, seramai 41 individu dan sebanyak 34 buah kenderaan juga telah diperiksa.


Operasi kali ini dijalankan dengan memberi tumpuan isu mabuk dengan penglibatan 2 pegawai dan 17 anggota yang ditugaskan.

Operasi yang bermula 9 malam dan berakhir jam 3 pagi tadi tertumpu di Jalan Pasi dan Jalan Rebok, Sarikei. — Dayakdaily