Op Mabuk di Jalan Simpang Tiga tahan tiga lelaki

Polis mengadakan sekatan jalanraya pada Op Mabuk di Jalan Simpang Tiga malam tadi (16 Mei, 2021).

KUCHING, 17 Mei: Tiga lelaki tempatan berumur 35, 44  dan 54 tahun ditahan kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol pada “Op Mabuk” di Jalan Simpang Tiga malam tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa, ketiga-tiga mereka telah dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian menggunakan alat EBA mendapati dua lelaki positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 55mg/100ml dan 137mg/100ml manakala seorang lelaki tidak melebihi kandungan alkohol yang ditetapkan.


“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 27 keping saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan seperti tidak memakai tali pinggang keledar, tiada nombor pendaftaran, gagal menunjukan lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan tiada cukai jalan.

Sebanyak 71 buah kenderaan dan 84 orang telah diperiksa pada operasi yang berkahir awal pagi tadi. — DayakDaily