BAU, 7 Feb: Empat lelaki ditangkap ketika sedang leka berjudi dalam satu serbuan ‘Op Limau’ di sebuah premis di Pusat Redeem, Jalan Singai dekat sini lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata serbuan sekitar jam 12 tengah malam itu dilakukan hasil daripada laporan dan risikan yang diterima.
Jelasnya, keempat-keempat suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 53 hingga 64 tahun.
“Semasa serbuan dilakukan, didapati kesemua suspek sedang berjudi jenis ‘gin rummy’ dan selepas pemeriksaan dilakukan, kesemua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasukan serbuan turut merampas peralatan perjudian seperti daun terub, wang tunai dan meja serta kerusi dari lokasi.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” tegas Poge. — DayakDaily