KUCHING, 27 Julai: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menyerbu sebuah banglo tiga tingkat di Jalan Hup Kee yang dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian (JOL) sekitar jam 5.40 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah hasil berkata seramai empat lelaki tempatan dipercayai operator sindiket terbabit berusia 23 hingga 24 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.
Menurut beliau, serbuan Ops Dadu Khas tersebut merupakan hasil maklumat risikan yang dilakukan.
“Keempat-empat suspek mengaku menjadi operator pengendalian JOL itu semenjak dua bulan yang lalu dengan gaji RM1,500 sebulan serta tawaran bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket.
“Pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari dan mendapat keuntungan kasar sebanyak RM1,000 sehari berdasarkan semakan rekod transaksi sejak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya turut dirampas dua unit komputer riba, seunit monitor komputer, satu unit pemprosesan komputer dan tiga buah telefon bimbit,
“Operator akan membuat panggilan kepada pelanggan di samping menggunakan aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Telegram, dan Wechat untuk mempromosikan JOL,” katanya.
Jelas beliau, pihak polis kini dalam usaha untuk mengesan pemilik sebenar banglo tersebut untuk siasatan lanjut kes.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. — DayakDaily