Op Carilamat: Fokus kawasan pencarian di sekitar perairan laut Igan

Pegawai Maritim memberi penerangan kepada ahli keluarga mangsa.

Oleh Juetila Ozzy

BINTULU, 13 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu meneruskan OP CARILAMAT hari ketiga bersama Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di perairan Igan, berikutan kejadian seorang kru bot nelayan tempatan jatuh laut dua hari lepas.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy bin Mohamed Fadil berkata, pihak MRSC Kuching telah mengaktifkan SAR pada 11 April 2021 jam 1.00 petang bagi OP CARILAMAT dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Kampung Pulau Igan.

“Keluasan sektor pencarian bagi hari ketiga dikecilkan dengan memfokuskan kawasan pencarian seluas 44.8 batu nautika sahaja di sekitar perairan laut Igan.

“Tiga aset terlibat bagi pencarian pada hari ini iaitu sebuah aset Maritim Malaysia, sebuah aset dari Pasukan Polis Marin, dan aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pencarian pada hari ini melibatkan seramai 21 pegawai dan anggota petugas di lokasi kejadian. Turut berada di PHC adalah ahli keluarga mangsa.

“Keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian pada hari ini baik dan diharap pencarian pada hari ini dipermudahkan dengan penemuan petunjuk baharu bagi memudahkan pengesanan mangsa,” katanya.

Persatuan Nelayan Kampung (PNK) sekitar turut dimakmumkan bagi membantu pencarian mangsa mahupun menyalurkan sebarang maklumat atau menjumpai petunjuk berkenaan dengan mangsa.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544. — DayakDaily