Op carilamat di perairan Pulau Burung ditamatkan

Gambar komposit menunjukkan sekitar operasi carilamat tersebut hari ini (24 April 2022).

KUCHING, 24 April: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching bersama agensi sahabat untuk seorang lelaki yang dipercayai jatuh laut di perairan Pulau Burung, Sebuyau pada 18 April lepas, telah ditamatkan pada jam 2.30 petang tadi.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, penamatan operasi tersebut diputuskan berikutan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui sepanjang tujuh hari operasi dijalankan.

Seramai lima orang ahli keluarga mangsa telah hadir bagi mendengar taklimat dari pasukan penyelamat bertempat di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Sebuyau, petang tadi.

Keseluruhan keluasan pencarian bagi op carilamat ini adalah seluas 1,020.82 batu nautika persegi merangkumi perairan Pulau Burung, Sebuyau, Maludam sehingga Kabong.

Operasi melibatkan seramai 120 orang pegawai dan anggota, termasuk orang awam.

Pelbagai aset kerajaan telah digunakan sepanjang tujuh hari op carilamat ini iaitu pesawat udara AS355N (Pasukan Gerakan Udara), bot KILAT 22 (Maritim Malaysia), bot PA17 (Pasukan Polis Marin), empat buah aset Sarawak Coast Guard (SC Terubok, SC Senangin, SC Terusan, Baraccuda), satu bot aluminium (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) dan satu bot aluminium APM MKN04/20 (Angkatan Pertahanan Malaysia).

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personal Locator Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544/432016. — DayakDaily