One Medicare Sdn Bhd dinobat ‘The BrandLaureate Best Brands Awards (Corporate Excellence) 2022’

Sazali (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi One Medicare Mohd Salleh Suleiman (kiri) dan Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat Syamsul Hizri.

KUCHING, 2 Sept: One Medicare Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan penjagaan fasiliti kesihatan di Sarawak, telah diiktiraf sebagai “The BrandLaureate Best Brands Awards (Corporate Excellence) 2022” bagi industri Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH).

Dalam satu kenyataan bertarikh 25 Ogos, syarikat tersebut menganggap anugerah itu sebagai tanda pengiktirafan usaha dan komitmen syarikat dalam menjayakan perkhidmatan dan pengoperasian terhadap 23 buah hospital di Sarawak, sejak dari tahun 2015.

Katanya, kejayaan itu juga dinilai melalui penglibatan dan komitmen One Medicare dalam menyokong pihak hospital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan komuniti setempat melalui inisiatif yang digiatkan terutamanya semasa negara berhadapan dengan Covid-19.


Ketua Pegawai Eksekutif One Medicare, Sazali Tuah Neli, yang hadir pada Majlis Makan Malam The BrandLaureate di Hotel Royal Majestic Kuala Lumpur berkata, pihaknya berbesar hati dinobatkan dengan gelaran Best Brands Awards (Corporate Excellence) 2022 di Malaysia buat julung kalinya.

“Ini juga satu penghormatan dan bukti komitmen buat One Medicare untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berprestij serta memberi jaminan penjagaan kesihatan yang menyeluruh.

“Sesungguhnya, pencapaian ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa kerjasama dan hasil usaha daripada seluruh warga One Medicare. Dengan pengiktirafan ini, ia mengukuhkan lagi cita-cita syarikat untuk terus meningkatkan standard melalui penggunaan teknologi kesihatan yang inovatif, mencerminkan kebolehan warga One Medicare yang telah mempamerkan dedikasi tidak berbelah bahagi demi memastikan standard perkhidmatan yang tinggi dan sentiasa dipatuhi tanpa menjejaskan kualiti dan integriti,” katanya.

The BrandLaureate telah mengiktiraf sebanyak 1,500 jenama dan syarikat terkemuka, dan 500 personaliti syarikat antarabangsa di lebih 80 negara sejak tahun 2005.

Proses penilaian penerimaan anugerah ini merangkumi kajian terperinci terhadap semua syarikat yang dicalonkan, termasuk menggunakan penunjuk prestasi semasa pengoperasian syarikat, pertumbuhan dan pemerolehan syarikat, prestasi produk atau perkhidmatan dan inovasi teknologi syarikat. — DayakDaily