Obesiti di kalangan kanak-kanak meningkat, perlu ditangani segera – Timbalan Menteri

Rentap (empat kanan) melepaskan peserta berbasikal di Jelajah Fit Malaysia di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Sept: Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.

Justeru katanya, penemuan ini amat membimbangkan dan perlu ditangani segera.


“Kita ada terima laporan, memang ada isu obesiti di kalangan kanak-kanak dan remaja bawah 15 tahun.

“Kajian oleh seorang Profesor (Isau) di Padawan mendapati ada peratusan tinggi masalah obesiti,” katanya ketika ditemui di Perasmian Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.

Tambah Rentap, semua pihak harus bekerjasama dalam menangani masalah ini agar tidak wujud masyarakat tidak sihat.

Katanya, pendidikan berkaitan pemakanan seimbang harus diajar kepada golongan kanak-kanak.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak agar tidak mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

“Bersukan juga perlu, kerana pada usia muda golongan ini boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan,” kata Rentap.

Sementara itu, seramai 8,000 peserta terlibat di dalam Jelajah Fit Malaysia yang bermula di Komplek Belia Dan Sukan pagi tadi. – DayakDaily