NIOSH: Majikan harus menjaga keselamatan, kesihatan pekerja media

Tan Sri Lee Lam Thye
Advertisement

KUCHING Mei 3: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mengingatkan kalangan majikan pengamal media di negara ini supaya menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi pekerja mereka.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata demikian bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut hari ini dan diisytiharkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 1993.

“Kakitangan media juga boleh terdedah kepada penyakit dan ancaman alam sekitar yang lain ketika membuat liputan bencana alam dan wabak penyakit manakala mereka yang dihantar ke zon perang dan konflik mungkin tercedera atau terbunuh. Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menjadi kewajiban bagi majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Advertisement

Lee Lam Thye berkata menurut Persekutuan Wartawan Antarabangsa, sekurang-kurangnya 81 wartawan kehilangan nyawa mereka ketika bertugas sepanjang 2017 manakala 262 wartawan lain telah dipenjarakan pada tahun yang sama.

Manakala di negara ini, selepas kejadian meragut nyawa jurukamera Bernama TV di Somalia pada tahun 2011, NIOSH turut memberikan beberapa maklumbalas untuk membantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menerbitkan garis panduan menyeluruh mengenai keselamatan para profesional media.

Dalam kejadian tragis tersebut, Noramfaizul Mohd Nor terbunuh apabila terkena peluru sesat semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan di ibu kota Somalia, Mogadishu, pada Sept 2, 2011.

“Malangnya, selepas kejadian yang membawa maut itu kita masih dapat melihat profesional media dihantar ke tugasan berisiko dan berbahaya tanpa peralatan perlindungan atau pengetahuan tentang risiko yang akan mereka hadapi,” katanya.

Antara situasi yang menimbulkan kebimbangan ialah ketika wartawan, jurugambar dan jurukamera terdedah kepada bahan kimia beracun VX dalam kes pembunuhan individu berprofil tinggi dari Korea Utara tahun lepas dan seharusnya membuka mata organisasi media mengenai kekurangan perlindungan yang diberikan kepada kakitangan mereka.

Sehubungan itu, pihaknya mengesa supaya pertubuhan media tidak menunggu sehingga berlakunya insiden serius sebelum melaksanakan amalan kerja selamat berdasarkan Garis Panduan Media Profesional yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa peranan utama para profesional media adalah untuk mendapatkan berita dan bukannya menjadi bahan berita,” katanya.

Sementara itu mengenai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Lee berkata tarikh itu dipilih untuk memperingati ulang tahun Deklarasi Windhoek, yang merupakan pernyataan prinsip kebebasan akhbar yang diusahakan oleh para wartawan Afrika pada tahun 1991.

Walaupun tema sambutan 2018 iaitu “Memastikan Kuasa Dipantau: Media, Badan Kehakiman, dan Kedaulatan Undang-Undang”, memberi tumpuan kepada kepentingan mewujudkan persekitaran undang-undang yang kondusif kepada kebebasan akhbar, tidak harus dilupakan bahawa para profesional media juga terdedah kepada risiko pekerjaan yang serius dan bahaya di seluruh dunia. — DayakDaily

Advertisement