Nilai juara pertandingan kecantikan ayam serama boleh mencecah RM4,000

Rudiman Mazlan, 41 menunjukkan Fighter Cock (kiri) dan Unname miliknya di gerai menjual ayam serama yang dibuka di di Program Muda Hashim Garage Sale 2017, Jalan Kulas, Satok.

KUCHING, Dis 28: Memelihara ayam serama boleh menjadi hobi yang mendatangkan pendapatan lumayan kepada penduduk negeri ini kerana ketika ini haiwan itu boleh dijual sehingga mencecah RM4,000 seekor sekiranya menjadi juara pertandingan kecantikan ayam serama tempatan.

Ini diakui pemelihara ayam serama, Rudiman Mazlan, 41, yang ketika ini menawarkan menjual dua ekor ayam serama iaitu King 650 dan Fighter Cock miliknya yang pernah menjadi juara pertandingan di Sadong Jaya dan Simunjan baru-baru ini.

“Saya ketika ini sanggup menjual King 650 pada harga RM4,000, yang menjadi juara pada pertandingan ayam serama di Sadong Jaya dan naib juara di Simunjan tahun ini, manakala Fighter Cock yang menjadi juara pertandingan ayam serama di Simunjan dengan harga RM2,000,” katanya ketika ditemui di gerai menjual ayam serama di Program Muda Hashim
Garage Sale 2017, Jalan Kulas, Satok, di sini, baru-baru ini.


Orang ramai melihat ayam serama Fighter Cock (kiri)  dan Unname yang menegakkan dada atas meja di gerai Rudiman Mazlan, 41.

 
Rudiman yang juga dikenali sebagai peminat pertandingan ayam serama dengan nama Man K berkata kedua-dua ayam terbabit adalah baka terbaik dari keseluruhannya 200 ayam serama yang dipelihara di kediamannya di Samariang Aman, Petra Jaya.

“Selain itu, saya juga ada menjual seekor ayam serama belum pernah menyertai pertandingan tetapi berpotensi menang dinamakan Unname pada harga RM1,500 dan ini boleh dinilai berdasarkan kemampuan ayam terbabit bergaya dengan menarik atas meja,” katanya.

Beliau berkata baka ayam serama lain pula dijualnya pada harga sekitar harga RM500 dan keseluruhannya mampu mencatat jualan sehingga RM2,000 sebulan yang menjadi pendapatan sampingannya sebagai pesara tentera udara.

King 650 yang dijual pada harga RM4,000.

Rudiman yang juga Penasihat Persatuan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama Kuching-Sri Aman berkata ketika ini kebanyakkan ayam serama baka terbaik dipeliharanya bukan dibeli peminat tempatan tetapi warga asing terutama dari Thailand dan Indonesia.

“Malahan saya pernah menjual seekor ayam serama baka terbaik pada harga RM12,000 kepada pembeli dari Thailand dan seekor lagi berharga RM7,000 kepada pembeli dari Bali, Indonesia,” katanya.

Beliau mula memelihara ayam serama dari baka yang terbaik ketika berkhidmat di Kuantan, Pahang dan mula menjual ayam itu dua tahun lepas kepada penduduk negeri ini terutama sekitar bahagian Samarahan yang ramai meminati hobi memelihara haiwan itu. — DayakDaily