This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 26 Jun: Nilai jualan usahawan Portal AgroBazaar Online (ABO) mulai Januari 2023 sehingga Jun telah mencapai sebanyak RM1.03 juta, kata Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abdul Rashid berkata, ABO adalah sebuah platform e-dagang pemasaran maya produk pertanian dan agro-makanan.
Katanya, portal menemukan pengeluar, pengilang, pembekal dan pengguna.
“Berdasarkan rekod, nilai jualan usahawan melalui Portal AgroBazaar Online (ABO) dari tahun 2014 sehingga kini mencapai RM11.07 juta,” katanya di Majlis Perasmian Kursus Solusi Perniagaan Melalui Pemasaran Digital 2023 di Akademi Percukaian Malaysia di sini, hari ini.
Kursus telah dihadiri seramai 57 orang peserta daripada seluruh bahagian di Sarawak.
Kursus memberi pendedahan, pengalaman dan peluang perniagaan kepada semua peserta bagi memahami teknik dan kaedah pemasaran di media sosial seperti TikTok yang semakin berkembang dan berkesan pada masa kini.
“Sepanjang kursus dua hari, peserta akan didedahkan mengenai potensi dalam perniagaan melalui media sosial seperti TikTok dan penggunaan Google Ads bagi memasarkan produk perniagaan mereka.
“Pihak FAMA telah menjemput penceramah berpengalaman bagi memberi tunjuk ajar kepada semua perserta berkenaan perniagaan melalui pemasaran digital,” kata Abdul Rashid.
Tambah beliau, peserta juga akan mempelajari teknik dan kaedah pemasaran di media sosial yang semakin berkembang dan berkesan.
Selain itu, jelas Abdul Rashid, peserta dapat meningkatkan kefahaman bagi penggunaan alat-alat promosi sedia ada di media sosial serta medium digital lain. — DayakDaily